Pokok cili antara pokok yang biasa ditanam di rumah-rumah. Mungkin kerana kegunaan cili itu sendiri yang biasa digunakan dalam masakan dan mudah ditanam menjadikan ia antara pokok yang menjadi pilihan ditanam di halaman rumah.

Namun disana ada penjagaan yang perlu difahami agar pokok cili yang ditanam dapat tumbuh subur seterusnya dapat dituai hasilnya. Selain aspek penjagaan, cara memetik cili juga ada caranya. Cara memetik cili yang betul dapat menjadikan cili yang dipetik tahan lebih lama dan pokok cili dapat kembali berbuah dengan cepat.

Bagaimanakah cara petik cili yang betul daripada pokok?

Caranya dikongsi oleh Salleh Mohammad (Wak Leh JB) yang juga pengusaha kebun pelbagai jenis sayuran.

CARA TERBAIK PETIK BUAH CILI DARI POKOK AGAR CILI TAHAN LAMA & POKOK CEPAT KEMBALI BERBUAH

1. Jangan potong separuh tangkai guna gunting untuk ambil cili. Cara petik cili yang betul adalah dengan memetik sekali tangkainya supaya tapak tangkai tadi akan berbunga semula.

2. Jika potong di tengah tangkai, tapak tadi akan ambil masa untuk berbunga kerana perlu menunggu tangkai cili yang tertinggal luruh.

Petik sekali tangkainya seperti gambar di bawah.

3. Teknik mudah untuk petik cili guna jari, pegang pangkal tangkai cili kemudian lipat ke bawah. Memang mudah tanggal.

4. Selain itu jangan petik cili ketika waktu hujan atau di awal pagi. Ini kerana cili yang basah akan mudah busuk dan tak tahan lama. Petik ketika buah cili dan tangkainya dalam keadaan kering.

Dah tahu caranya, praktikkan. Semoga bermanfaat.

Sumber: Salleh Mohammad (Wak Leh JB)