Menurut Azman, beliau dan isterinya sebelum ini kerap mengembara ke beberapa negara Asia Tenggara khususnya Thailand dengan menunggang motosikal. Namun mereka mengubah mod pengangkutan kepada kereta selepas membeli Kancil terpakai pada harga hanya RM1,500.
Ujar Azman, kereta itu pada asalnya dibeli untuk anak lelakinya selepas memiliki lesen memandu, namun ia tersadai sahaja di rumah apabila anaknya itu melanjutkan pelajaran ke universiti.
Dari situ, timbul idea untuk mengembara dengan menggunakan kereta ini dan mereka sempat ke sempadan China pada jarak 6,000 kilometer, sebelum dunia dilanda wabak COVID-19.
Selepas sempadan negara kembali dibuka, Azman sekali lagi mengembara ke Thailand menggunakan Kancilnya ini, membabitkan perjalanan sejauh 7,700 kilometer dalam masa 20 hari.
Ketahanan kereta Kancil ini wajar dipuji, selain pemiliknya ini juga sering melakukan pemeriksaan asas termasuk penjagaan enjin supaya pengembaraannya berjalan lancar.
Tambah Azman lagi, ada kenalan yang menganggap pengembaraan menggunakan Kancil lama ini adalah satu kerja gila, namun beliau tidak mengendahkan kerana ia adalah satu hobi buatnya.