Nak menyediakannya ringkas dan mudah sahaja. Boleh lah buat stok untuk sahur atau berbuka nanti. Tinggal ambil dan makan sahaja.
Mari kita ikuti resepi sambal penyet perkongsian Zurina Zulkefli di bawah ini.
RESEPI SAMBAL PENYET
Jarang-jarang saya buat sambal penyet. Hari ni kebetulan beli banyak tomato, jadi saya masak sambal penyet buat stok dalam peti. Esok lusa kalau teringin nk makan pedas, makan je dengan sambal penyet ni ha dengan nasi panas-panas.
Resepinya mudah sahaja.
BAHAN-BAHAN :
- 7 tomato merah
- 5 cili merah besar
- 20 cili merah kecik
- 2 biji bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- Sedikit belacan
- Garam dan gula
- Minyak masak
CARA MEMASAK :
1. Panaskan setengah cawan minyak masak ke atas kuali.
2. Masak bawang merah & bawang putih hingga berbau harum.
3. Masukkan semua tomato dan masak sampai lembik.
4. Masukkan semua cili merah dan belacan, gaul sebati bersama tomato tadi.
5. Padamkan api dapur dan rehatkan masakan seketika sehingga suhu menjadi suam.
6. Kemudian, kisarkan masakan ke dalam blender tapi jangan kisar terlalu kerap. Elakkan sambal penyet menjadi halus. Kita tak nak tekstur sambal penyet macam cili bo.
7. Sesudah kisar, masukkan semula ke dalam kuali dan masak sehingga warna sambal menjadi lebih gelap dan pecah minyak.
8. Akhir sekali citarasakan sambal dengan garam dan gula secukupnya.
Sedia dimakan bersama nasi panas dan ikan goreng.
Sumber: Zurina Zulkefli




